Sabtu, 24 Julai 2010

PATUTLAH AIR SELANGOR KOTOR...DEPA NI ASAL MASUK DUIT JE

Berpuluh tahun diberikan amanah tapi kerja mereka asal masuk duit kerja ikut suka aku...ramai rakyat Selangor yang sakit kerana air yang dimasak pun berkeladak dengan karat..malahan kandungan amonia melebihi dari yang dibenarkan....malahan pengerusi syabas sekarang yang dikatakan mendapat gaji setahun rm 5.1 juta adalah amat mendukacitakan kerana tiada rasa bertanggung jawab terhadap keselamatan pengguna rakyat Selangor amnya,apa pun tajuk berkaitan angah sekadar kopi dan tempel dari suarakeadilan......,

Gaji Pengerusi Syabas RM425,000 Sebulan, Mutu Bekalan Air Selangor Corot

Oleh Faizal Ezzany
SHAH ALAM 23 Julai - Pengarah Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahron membidas ketidak cekapan dan ketelusan pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan sikap kerajaan pusat yang sengaja  melengah-lengahkan penstrukturan semula syarikat pengurusan air di Selangor sebagai punca sebenar disebalik isu bekalan air.
Dr Badrulamin membandingkan pengurusan bekalan yang tidak cekap yang tidak setimpal dengan gaji amat tinggi yang dinikmati oleh pengerusi eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail.
"Kenaikan harga air juga akan meningkat kerana pengurusan Syabas yang tidak telus, antaranya gaji tahunan pengerusi Syabas mencecah RM5.1 juta setahun, RM425,000 sebulan, Puncak Niaga gagal menaiktaraf loji rawatan air yang sudah uzur dan tidak mampu untuk merawat air, pembaziran air yang berterusan akibat air tanpa hasil (NRW) yang tinggi dan penswastaan industri air yang hanya menguntungkan kroni-kroni pimpinan politik," tegas beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Justeru itu Dr Badrulamin yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat mengesa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Sri Peter Chin Fah Kui berhenti daripada mengelirukan rakyat dengan menimbulkan isu krisis air di Selangor. 
"Masalah yang bakal didepani rakyat Selangor bukan krisis kekurangan air, tetapi kadar air meningkat disebabkan keengganan kerajaan Pusat menyerahkan pengurusan industri air Selangor kepada kerajaan negeri, sebaliknya meneruskan agenda penswastaan air.
"Dakwaan Selangor menghadapi krisis bekalan air bertujuan memberi alasan untuk menaikkan kadar air adalah satu yang tidak benar dan melihat kepada hujah Peter Chin yang mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim adalah yang tidak bertanggungjawab.
"Pandangan Menteri tersebut jelas sekadar bertujuan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu pengambilalihan pengurusan industri air di Selangor, bukannya melihat pada pokok pangkal masalah sebenar yang berpunca daripada Kerajaan Pusat. Sekiranya kerajaan pusat Barisan Nasional terus menghalang penstrukturan semula industri air di Selangor," jelas beliau lagi. 
Beliau juga menambah kadar air akan meningkat disebabkan pembinaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor yang berkos RM8 bilion, sementara kerajaan negeri dapat melaksanakan projek tersebut pada kos RM2 bilion.
"Air, tanah, sumber mineral merupakan milikan negeri Selangor, maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menjaga hak rakyat Selangor. 
Antara usaha kerajaan negeri untuk menghalang Syabas yang bertindak sebagai alat kerajaan pusat bagi merampas hak rakyat Selangor ialah mencadangkan pengambilalihan industri air di Selangor, serta memberikan air percuma bagi setiap penggunaan 20 meter padu.
"Rakyat lebih berkeyakinan di bawah kepimpinan Khalid Ibrahim, kerajaan negeri mampu mengurus pentadbiran industri air dengan jauh lebih telus dan bekesan," sambungnya lagi.
Dr Badrulamin juga menyeru agar Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional mengaku air sebagai hak asasi manusia dan tidak diperalatkan untuk keuntungan kroni atau kepentingan politik. 
Beliau juga rayu kepada seluruh rakyat Selangor bertegas memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam usaha mengambilalih industri air di Selangor dan membantah penswastaan air di Selangor.
Dalam kenyataan yang lain Dr Badrulamin menghargai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup siasatan kes terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membabitkan jamuan Aidilfitri rumah terbuka Menteri Besar Selangor di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 2008.
"Alasan SPRM bahawa tiada bukti dan saksi setelah menjalankan siasatan selama dua tahun membuktikan tindakan awal mendakwa Menteri Besar Selangor adalah tidak berasas dan bermotif politik untuk memburukkan imej Menteri Besar Selangor. Walau bagaimanapun, SPRM seharusnya menjalankan tugas secara professional dan tidak memilih bulu dalam kes penyelewengan dan rasuah yang membabitkan pimpinan tertinggi kerajaan. 
"SPRM wajar menjalankan siasatan dan dakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo dan pimpinan Barisan Nasional lain yang jelas terbabit dalam kes rasuah, agar dapat memulihkan keyakinan orang awam terhadap SPRM," ulasnya.
                               -----------------------------------------------------------------------------------
Dibawah ini angah kopi dan tempel  dari laman DAP MALAYSIA untuk ingatan semua rakyat terutama rakyat Selangor semasa pemerintahan BN dimana DAP MALAYSI telah menyerahkan memorandum berkenaan isu ini pada tahun 2006....
Memorandum Kepada Kerajaan Negeri Selangor Negeri Maju Oleh DAP Selangor Berkenaan Dengan Pencemaran Air Sungai Di Selangor
 
Y.A.B. Dato' Seri Dr Mohd Khir bin ToyoPejabat Menteri Besar Selangor Tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,                                                               20 APRIL 2006
40503 Shah Alam 
Tel: 03-55141119/55447013 Fax: 55190032                                                                SERAHAN TANGAN
Y.A.B. Dato’ Seri,
Memorandum Kepada Kerajaan Negeri Selangor Negeri Maju Oleh DAP Selangor Berkenaan Dengan Pencemaran Air Sungai Di Selangor
Pengenalan
Pengguna-pengguna air di Lembah Klang dan Selangor sekali lagi dikejutkan dengan kejadian pencemaran air beberapa hari yang lepas berikutan peningkatan mendadak kandungan amonia dalam Sungai Semenyih.
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah bertindak menutup loji rawatan air di Semenyih jam 8.30 pagi kelmarin apabila kandungan amonia mencapai paras berbahaya 4.8 mg seliter, sedangkan paras selamat tidak boleh melebihi 1.5 mg seliter. Walaupun Syabas berjaya menutup loji air di Sungai Kembong, tetapi gangguan bekalan air juga telah menjejaskan kehidupan orang ramai.
Pencemaran amonia itu berlaku akibat limpahan air kumbahan ke Sungai Kembong yang terletak berhampiran dengan satu tapak perlupusan sisa pepejal kepunyaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ketika hujan lebat kira-kira jam 1.30 pagi pada 16 April 2006 selepas benteng yang menakungnya pecah akibat hujan lebat.
Perkara ini bukan kali pertama berlaku di Selangor. Pada 26 Februari lalu, tiga loji di Sungai Selangor dicemari amonia akibat resapan air kotor dari pusat pelupusan sampah Bukit Tagar. Kawasan-kawasan yang mana bekalan air terjejas ialah Kuala Lumpur, Gombak, Petaling Jaya, Kuala Selangor, Ulu Selangor, Klang, Shah Alam dan Kuala Langat. Kandungan amonia dikatakan melebihi paras selamat sebanyak enam kali ganda.
Kejadian-kejadian pencemaran air sungai yang kerap berlaku ini telah membimbangkan orang ramai sama ada air minuman mereka selamat diminum atau tidak.
Pendirian DAP Selangor
DAP Selangor berasa besar hati apabila YAB Menteri Besar telah mengarahkan supaya tapak perlupusan sisa pepejal kepunyaan MPKj itu ditutup
Biarpun begitu, kami amat prihatin dengan pencemaran air sungai yang semakin berlaku kerana ini tidak jelas sejajar dengan status negeri maju negeri Selangor. Kejadian pencemaran yang pertama pada Februari bukan sahaja telah menjejaskan kehidupan harian pengguna-pengguna air di Selangor, khususnya penjaja-penjaja dan kilang-kilang industri yang terpaksa bergantung kepada bekalan air Syabas untuk beroperasi, malahan air minuman yang tidak bersih ini akan menjejaskan kesihatan pengguna-pengguna air di Selangor.
Lebih-lebih lagi, kejadian pencemaran air yang pertama berlaku pada bulan Februari sepatutnya menjadi satu amaran yang baik kepada Kerajaan Negeri untuk memperbaiki sistem pemantauan dan kawalan pencemaran sungai yang setiap ada supaya perkara ini tidak akan berulang. Malangnya, langkah berjaga-jaga sebegini yang begitu asas tidak diberi perhatian serious oleh Kerajaan Negeri.
Laporan akhbar juga menyatakan bahawa tapak pelupusan sisa pepejal yang terletak berhampiran dengan Sungai Kembung yang menyebabkan pencemaran air sungai ini. Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Ch’ng Toh Eng yang memegang portfolio Multimedia, Alam Sekitar dan Pembangunan Kampung Baru telah mengatakan bahawa tapak perlupusan sisa pepejal di Selangor biasanya dibina bersebelahan dengan sungai oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi menjimatkan kos pengangkutan kerana PBT biasanya tidak ingin membina tapak perlupusan sampah di kawasan pedalaman yang berbukit-bukau.
Datuk Ch’ng Toh Eng juga menyatakan bahawa kebanyakan tapak perlupusan sisa pepejal di Selangor didirikan bersebelahan dengan sungai-sungai utama di Selangor. Antaranya termasuk tapak perlupusan sampah di Bukit Beruntung dan Batang Berjuntai.
DAP Selangor tidak boleh menerima alasan penjimatan kos ini kerana pembinaan tapak perlupusan sampah berhampiran dengan sungai-sungai utama akan mudah mencemari bekalan air minuman rakyat Selangor. Tiada apa lagi yang lebih penting daripada kesihatan rakyat Selangor. Kesihatan rakyat dan keselamatan air minuman Selangor tidak harus dikompromi dengan alasan ingin menjimat kos pengangkutan.
Kami berpendapat bahawa pihak berkuasa tempatan di negeri Selangor perlu prihatin terhadap keselamatan air minuman dan kesihatan rakyat negeri Selangor.
Pakar-pakar perubatan telah menyatakan bahawa air minuman yang mempunyai kandungan amonia melebih paras keselamatan jika diminum dalam jangka masa yang panjang akan memudaratkan organ-organ badan dan menyebabkan cirit-birit.
Kami juga berasa kesal kerana kekurangan pemantauan dan langkah-langkah berjaga-jaga di tapak-tapak perlupusan sampah ini sehingga air kumpahan mudah mengalir masuk ke sungai-sungai utama. Walaupun Kerajaan Negeri, khususnya kerajaan tempatan yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri perlu memikul tanggungjawab yang besar dalam kedua-dua kes pencemaran air ini, kami juga berasa kesal dengan hujah bahawa pembinaan beberapa tapak perlupusan sampah di Selangor, contohnya tapak perlupusan sisa pepejal Bukit Tagar diluluskan oleh Kerajaan Pusat tanpa mendapat kelulusan daripada Kerajaan Selangor.
Persoalannya ialah bagaimana Kerajaan Selangor dapat membiarkan projek pembinaan tapak perlupusan sampah ini diteruskan oleh Kerajaan Pusat apabila Kerajaan Selangor belum lagi meluluskan projek ini?
Lebih-lebih lagi, tapak perlupusan sisa pepejal ini dibina tanpa dilengkapi kemudahan-kemudahan rawatan air sisa dan air kumbahan. Ini merupakan satu masalah yang sangat serious. Bagaimana sesuatu tapak perlupusan sisa pepejal boleh dibenarkan dan laporan EIAnya boleh diluluskan apabila tapak perlupusan sampah itu tidak dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan rawatan air kumbahan, sedangkan kemudahan ini merupakan satu kemudahan yang paling asas dalam mana-mana tapak perlupusan sisa pepejal.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid telah menyatakan bahawa Jawatankuasa Kabinet berkenaan dengan Pencemaran Alam Sekitar yang dipengerusi oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersidang pada 28 April bagi membincangkan sebaga isu dan dasar yang berkaitan dengan pembuangan sampah pepejal di Lembah Klang.
DAP Selangor berasa kecewa kerana mesyuarat ini sepatutnya melibatkan wakil daripada Kerajaan Selangor kerana yang turut terjejas ialah rakyat negeri Selangor. Bagaimana pula Kerajaan Selangor dapat membiarkan Jawatankuasa Kabinet bermesyuarat dan membuat keputusan sedangkan Kerajaan Selangor tidak dijemput untuk turut hadir bersama dan berkongsi pendapat.
Cadangan-Cadangan:
DAP Selangor dengan itu ingin mencadangkan yang berikut sebagai langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah pencemaran air sungai oleh tapak perlupusan sampah:
  1. Mengarahkan semua PBT di negeri Selangor untuk berhenti membina tapak perlupusan sisa pepejal yang berhampiran dengan sungai pada masa depan.
     
  1. Menghukum mereka yang mencemari air sungai, termasuk mendakwa mana-mana pegawai PBT yang lalai dan syarikat-syarikat swasta yang mengurus mana-mana tapak perlupusan sisa pepejal yang pernah mencemari air sungai.
     
  1. Memulakan proses perundangan untuk memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan. Kejadian ini berlaku kerana sikap tidak prihatin ahli-ahli majlis dan YDP majlis. Ianya boleh dielakkan sekiranya terdapat pemantauan dan penyemakan daripada ahli-ahli majlis yang dipilih oleh rakyat.
     
  1. Mendesak Kerajaan Pusat dan Jawatankuasa Kabinet berkenaan Dengan Pencemaran Alam Sekitar untuk mengadakan satu Extended Meeting dengan menjemput wakil daripada Kerajaan Selangor untuk membincangkan isu ini. Sebarang keputusan Jawatankuasa Kabinet dan Kabinet berkenaan dengan pengurusan sisa dan pencemaran air sungai perlu ditangguhkan sehingga ianya dipersetujui oleh kedua-dua Kerajaan Pusat dan Negeri.
     
  1. Memastikan semua tapak perlupusan sisa pepejal di Selangor dilengkapi dengan sistem rawatan air kumbahan dan mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan untuk melengkapi mana-mana tapak perlupusan sisa pepejal yang tiada sistem rawatan air kumbahan dengan sistem berkenaan.
     
  1. Membentangkan satu Kertas Putih ke Dewan Undangan Negeri Selangor untuk menjelaskan kedua-kedua kes pencemaran air ini dengan sejelas yang mungkin dan menyatakan langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk menyelesaikan masalah ini.
Sekian, terima kasih.
Ong Chee Keng
Pengerusi DAP Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan