Isnin, 21 Jun 2010

JANGAN BIARKAN HAK-HAK KAMU DIGADAI KERA JAAN BN


Perarakan Raksasa Pekerja Bantah Pindaan Akta Pekerja

Oleh Sidiqin Omar
SHAH ALAM 20 Jun - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perhimpunan raksasa di Putrajaya dalam masa terdekat bagi mendesak kerajaan menarik semula cadangan bagi pindaan terbaru Rang Undang-Undang Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Pekerja dan Akta Kesatuan Sekerja 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lalu.
"Kita akan mulakan dengan 'roadshow' di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada rakyat, terutamanya golongan pekerja sama ada ahli kesatuan atau pun tidak, golongan buruh dan seluruh rakyat Malaysia yang secara amnya akan terkesan daripada pindaan akta yang bakal diwartakan," kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Kaukus Pekerja Parlimen berkata demikian pada sidang media selepas Forum Perdana 'Pekerja Tolak Cadangan Pindaan Undang-Undang Buruh 2010' yang dianjurkan oleh Gabungan Pekerja-Pekerja Insaf Negeri Selangor (Garis) di sini pagi tadi. 
Program forum tersebut dirasmikan Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor oleh Yaakop Sapari.
Selain Abdullah Sani, ahli panel lain yang hadir termasuk Presiden MTUC, Syed Syed Shahir Syed Mohamud dan Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.
Antara isu yang dibangkitkan oleh ahli panel kepada pihak kerajaan adalah mengenai prosedur di mana akta tersebut diwartakan tanpa melalui proses yang adil.
Tidak wujud perbincangan di antara ketiga-tiga pihak iaitu, kerajaan, majikan dan pekerja yang mempunyai kepentingan masing-masing di dalam proses pembentukan dasar tersebut.
"Persoalannya adalah, apa niat kerajaan untuk meminda undang-undang ini? Antara lain, niat mereka adalah untuk menyesuaikan negara dengan keadaaan semasa, di mana dunia di dalam persaingan dan undang-undang ini diubah kerana tekanan majikan-majikan. 
"Namun dalam perkara penting seperti ini, tidak ada perbincangan yang benar-benar dalam semangat demokrasi dilakukan," kata Syed Shahir.
Beliau menyeru semua pekerja di Malaysia tanpa mengira sektor dan industri untuk bersama-sama berkempen bagi membantah pindaan akta yang telah digerakkan oleh MTUC semenjak beberapa bulan yang lalu.
"Sebenarnya pelancaran bagi kempen ini telah dimulakan semenjak dari pilihan raya Kecil Hulu Selangor. Kita memanfaatkan peluang tersebut dengan mengadakan kempen edaran risalah bagi memberikan penerangan kepada orang ramai dan juga membuat tuntutan kepada parti-parti yang bertanding untuk membawa isu berkaitan pekerja ke Parlimen," kata beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Sivarasa mendedahkan Barisan Nasional sering menggunakan kuasa majoritinya di Dewan Rakyat untuk menggagalkan usul bagi memperjuangkan nasib golongan pekerja.
"Mereka bahkan menuduh MTUC telah mempolitikkan isu pekerja di Malaysia. Bagi saya, ini adalah hak golongan pekerja, kerana mereka sepatutnya diberikan suara politik, termasuk di dalam Parlimen," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan