Jumaat, 25 Jun 2010

KARTUN PUN TAKUT?

1 Malaysia rasanya akan gelak bila pemimpin BN takut pada kartun....bercakap bukan main megah hebat sana sini,cemerlang ,gemilang dan terbilang dan kononnya rakyat diutamakan,media bebas bla...bla...bla bagaikan bercakap guna telinga mendengar ikut mulut,(baca seterusnya) artikel yang angah kopi dan tempel dari blog mentor Tukar Tiub mengenai tekanan yang Zunar hadapi berkenaan kartunnya........

"SAYA AKAN TERUS BERKARTUN HINGGA KE TITISAN DAKWAT TERAKHIR."


Latar belakang:

Setakat kenyataan ini ditulis, saya belum mendapat surat rasmi

dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai pengharaman buku

saya.

Berdasarkan laporan Malaysiakini (24 Jun 2010), KDN berkata tiga
buku/majalah saya - 1Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu
Dalam Kartun telah diharamkan.

"1Funny Malaysia" adalah koleksi karya-karya pilihan kartun saya
yang tersiar dalam ruangan Cartoonkini dalam portal web
Malaysiakini dari tahun 2005 hingga 2009.

"Perak Darul Kartun" adalah buku terbitan syarikat saya sendiri,
Sepakat Efektif Sdn Bhd. "Isu Dalam Kartun (IDK)" adalah majalah
bulanan yang mempunyai permit penerbitan dari KDN dan setakat ini
tiga edisi IDK telah diterbitkan; vol 1, vol2 dan vol 3.

Tahun lepas, sebuah lagi majalah saya "Gedung Kartun" telah
dirampas dan juga telah diharamkan. Berdasarkan kenyataan KDN ini
bererti keenam-enam penerbitan saya dan juga pasukan kartunis saya
telah diharamkan.

Dalam laporan Malaysiakini, Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri
Mahmood Adam dipetik sebagai berkata buku-buku tersebut diharamkan
kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan
kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat
untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.Ia tidak sesuai
untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan
ketenteraman awam," kata beliau.


Kenyataan saya:

1Kerajaan/KDN menuduh bahawa kartun-kartun saya mengandungi bahan
yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang
kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan, ia boleh
memudaratkan ketenteraman awam. Ia adalah satu tuduhan yang serius
dan harus ditunjangi dengan alasan perundangan yang kukuh.

2. Dengan mengharamkan keenam-enam penerbitan ini, ertinya
sebanyak 312 karya-karya kartun saya dan pasukan kartunis saya
yang terdapat dalamnya diharamkan.

3. Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan apakah yang
dimaksudkan dengan takrif "mempengaruhi pemikiran rakyat untuk
menentang kepimpinan dan dasar kerajaan dan sekiranya dibiarkan,
ia boleh memudaratkan ketenteraman awam."

4. Saya menuntut KDN/kerajaan memberi penjelasan karya yang mana
dan pada muka surat yang mana dari 312 kartun tersebut yang
dikategorikan sebagai mengancam keselamatan negara dan tidak
sesuai untuk bacaan umum.

Saya bertanggungjawab dan sedia mempertahankan karya-karya saya.
Saya sedia menghadapi tindakan undang-undang.

4. Dari sudut perniagaan, larangan KDN ini sudah pasti membawa
kerugian besar kepada syarikat saya. Saya menjangka pengedar-
pengedar seluruh Malaysia akan memulangkan naskah yang telah
beredar di pasaran dan kerugian sekitar RM50,000 hingga RM80,000.

5. Tetapi, keuntungan material bukanlah matlamat utama saya.
Sebagai kartunis, tanggungjawab sosial adalah keutamaan saya.
Melalui karya kartun, saya akan terus membongkar kezaliman, rasuah
dan salah laku kerajaan BN. Saidina Ali berkata, "Bercakap benar
kepada pemerintah yang zalim adalah patriot sebenar".

6. Kerajaan boleh mengharamkan buku saya, kerajaan boleh
mengharamkan majalah saya, tetapi kerajaan tidak boleh
mengharamkan minda saya. "Saya akan terus berkartun sehingga ke
titisan dakwat terakhir."

ZUNAR
(Zulkiflee Anwar Ulhaque)
Kartunis/Editor kartun
zunar49@gmail.com
03 22724045

Tiada ulasan:

Catat Ulasan