Selasa, 18 Mei 2010

BUAT JALAN BUKAN NAK BANTU RAKYAT TAPI NAK KAYAKAN KRONI



Pengguna berpeluang guna LKSA secara percuma selama dua bulan


2010/05/18

SHAH ALAM: Pengguna Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) yang dilancarkan sepenuhnya pada hari ini, akan dapat menggunakannya secara percuma selama dua bulan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor. 

“Keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Projek Lintasan Shah Alam Sdn Bhd (Prolintas), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian lebuhraya baru itu di sini, hari ini.
Shaziman berterima kasih kepada Prolintas yang juga pemegang konsesi lebuh raya ini kerana memberikan laluan percuma selama dua bulan dari hari ia dilancarkan dan langkah itu wajar dicontohi dalam pelancaran lebuh raya baru yang akan datang.
Hamad berkata, pada peringkat awal 25,000 kenderaan sehari, dijangka menggunakan lebuh raya yang menghubungkan Shah Alam terutamanya projek perumahan Alam Impian ke Lebuhraya Persekutuan dan Kesas. 

Dengan adanya LKSA ini, katanya, perjalanan dari Lebuhraya Kesas ke Lebuhraya Persekutuan yang sebelum ini mengambil masa 30 minit akan dikurangkan kepada 10 minit saja dan ini akan mengurangkan penggunaan bahan api serta memberi lebih masa kepada para pengguna untuk melakukan aktiviti yang lebih produktif. 

LKSA juga mampu memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan dan sosio ekonomi kawasan setempat di mana nilai hartanah dijangka meningkat dan lebih banyak projek perumahan, perindustrian dan komersil akan dibangunkan kerana laluan keluar masuk yang lebih baik menerusi lebuh raya ini. 

Lebuh raya sepanjang 14.7 kilometer ini yang menggunakan sistem tol terbuka disiapkan dalam tempoh 33.5 bulan dengan kos RM750 juta, dua bulan setengah lebih awal daripada 36 bulan yang ditetapkan sejak pembinaan bermula Ogos 2007. 
Beliau berkata, sepanjang tempoh pembinaan, Prolintas menghadapi pelbagai cabaran antaranya ialah proses pengambilalihan tanah berlaku serentak dengan pembinaan dan ada antara kawasan lebuh raya itu terletak di dalam kawasan paya sedalam 61 meter yang memerlukan kerja-kerja pengukuhan struktur tanah yang teliti bagi menepati piawaian. 

Pada masa sama, Prolintas juga berdepan dengan kenaikan harga bahan binaan yang begitu mendadak di sepanjang tempoh pembinaan, katanya. 

Hamad berkata: "Sebagai contoh, harga besi melambung sebanyak 52 peratus, harga minyak melonjak sebanyak 37 peratus, simen naik sebanyak 22 peratus, manakala bitumen meningkat sebanyak 13 peratus. 

“Kenaikan harga bahan-bahan binaan utama ini telah memberikan tekanan kepada Prolintas di dalam mengawal kos keseluruhan lebuhraya ini." 

Selain LKSA, Prolintas juga mengendalikan operasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Guthrie yang diambil alih daripada Kumpulan Guthrie Bhd pada 2007. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan