Ada bukti hukuman ke atas MBJB tak sah
WUJUD kini kesangsian kukuh betapa tindakan Sekretariat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan penggantungan terhadap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) daripada beraksi dalam Liga Perdana 2009 - berkuatkuasa Isnin lalu - sebagai tidak sah.
Malah ada cukup bukti juga untuk mencetuskan keraguan sama ada Jawatankuasa Pertandingan FAM, pada mesyuarat 3 Mac lalu, mempunyai kuasa mutlak menjatuhkan hukuman gantung itu selepas MBJB didapati tidak 'menjelaskan premium insurans untuk Liga Malaysia 2009 yang berjumlah RM 71,092.
Ia kerana rujukan terhadap Perlembagaan FAM menegaskan keputusan semua jawatankuasa badan induk itu - kecuali Jawatankuasa Disiplin dan Rayuan yang diperakui sebagai badan perundangan - perlu terlebih dahulu diluluskan Majlis FAM sebelum boleh dikuatkuasakan.
Majlis FAM hanya dijadual bermesyuarat 11 April nanti, sekali gus bermakna hukuman Jawatankuasa Pertandingan Tempatan itu hanya berkuatkuasa apabila majlis berkenaan meluluskannya selepas tarikh itu.
Tetapi Sekretariat FAM, menerusi surat bertarikh 16 Mac ditandatangani setiausaha agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad - dan diedarkan kepada media massa pada hari sama - secara jelas menegaskan 'MBJB tidak dibenarkan bertanding di dalam Liga Malaysia 2009 mulai dari 14 Mac 2009.'
Selain peruntukan Perlembagaan FAM yang jelas mewajibkan kelulusan badan induk sebelum keputusan dikuatkuasakan, tindakan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM menggantung MBJB juga sebenarnya tampak 'melangkaui bidang kuasa.'
Kerana jikapun MBJB gagal melunaskan pembayaran premium itu, Peruntukan 4.1 (ix) Perkara mengenai Pasukan, Pegawai dan Pemain dalam Peraturan Liga Malaysia 2009, bukan kelab itu yang sepatutnya perlu terus dipaksa menanggung akibatnya.
Kerana peruntukan itu menjelaskan: "Persatuan Bola Sepak Negeri mestilah bertanggungjawab membayar semua tanggungan kewangan yang gagal dijelaskan oleh kelabnya yang menyertai Liga-M terutama bayaran gaji Pemain dan Pegawai, KWSP, cukai pendapatan kepada LHDN, SOCSO, denda, caj dan lain-lain tanggungan kewangan seperti yang diputuskan oleh FAM."
Ia bermakna, FAM perlu terlebih dahulu mengambil tindakan terhadap Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) yang menaungi MBJB sebelum boleh menjadikan MBJB 'mangsa' mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan