Rabu, 11 Mac 2009

RAMAI YANG TAK TAHU BAB INI!

 Saya ambil maklumat ini dalam Bernama.com. penulis menamkan dirinya PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM,moga kita mendapat pengajaran dari info yang diberi,

AKTA BANGUNAN & HARTA BERSAMA (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007: Walaupun diluluskan untuk membantu rakyat, tetapi terdapat beberapa keraguan di dalam akta itu yang mungkin membebankan pengguna pada jangka masa panjang. Harta Bersama (Common Properties) merupakan harta yang dimiliki dan diselenggara bersama oleh semua penghuni bangunan bertingkat. Akta ini juga menyatakan keperluan menubuhkan Perbadanan Pengurusan Bersama (Joint Management Body - JMB) yang akan bertanggungjawab kepada semua harta bersama termasuk, rumah pam, tangki air, dan juga sistem perpaipan.

Masalah bermula apabila pengguna tidak memahami akta ini dan fungsinya. Dalam jangka masa terdekat, semua penghuni bangunan bertingkat diwajibkan mempunyai meter individu untuk bekalan air dan membayar terus kepada syarikat bekalan air yang dilesenkan. Akan tetapi, penghuni bangunan bertingkat masih perlu tambahan kos untuk menyelenggara harta bersama bagi bekalan air. Situasi ini jauh berbeza daripada perumahan biasa kerana tanggungjawab syarikat bekalan air adalah sehingga ke meter air individu atau jarak tertentu daripada sistem paip utama. Persoalannya ialah sama ada JMB yang terdiri daripada penghuni bangunan bertingkat mempunyai peruntukan yang cukup untuk mengawal operasi dan menyelenggara harta bersama untuk dapatkan bekalan air.

Perkara kedua ialah bagaimana tarif bagi pengguna di bangunan bertingkat ditetapkan? Ini kerana perkhidmatan yang diberikan kepada penghuni bangunan bertingkat adalah kurang berbanding pengguna di perumahan biasa dan JMB juga dibebankan dengan kos menjaga harta bersama untuk bekalan air. FOMCA berpendapat bahawa perkara ini jauh lebih berbahaya jika dibiarkan begitu sahaja. Jika, JMB gagal mengutip yuran pengurusan bulanan yang mencukupi, badan tersebut akan gagal menyelenggara harta bersama untuk bekalan air.

FOMCA juga mendapati bahawa JMB masih tidak wujud untuk bangunan bertingkat di banyak negeri. Dalam konteks ketiadaan JMB ini, maka penggunalah menjadi golongan yang rugi. FOMCA berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi untuk menyelesaikan masalah ini. Satu mekanisme untuk mengurus harta bersama ini patut diwujudkan supaya tanggungjawab ini tidak membebankan pengguna hanya kerana mereka membeli premis di bangunan bertingkat berbanding perumahan biasa. Jadi, sekiranya masih tidak ada tindakan, nampaknya, masalah sedemikian akan terus membebani pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan