Sabtu, 9 Mei 2009

RAIS YATIM YANG TELAH YATIM JIWA DAN PEMIKIRANNYA

Malam ni aku masuk BERNAMA saja -saja cari berita dan info bila baca satu artikel mengenai apa yang disarankan oleh Rais ni maka nampak benar selama ini apa yang orang ramai perkatakan berkenaan si Rais ini benar belaka,dengan sikap bodeknya serta jiwa dan pemikirannya yang seakan namanya yatim dan kosong,apa pun bagi angah semua ini tanda bahawa dia sebenarnya tidak boleh berkerja,untuk memahami apa sebenarnya terjadi sila lah layan thread ini yang aku kopi dan tampal dari BERNAMA layan jangan tak layan,

1Malaysia Penawar Kepada Golongan Masyarakat Suka Membantah

KOTA BAHARU, 9 Mei (Bernama) -- Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan merawat "penyakit" kepada golongan masyarakat yang suka membantah dan tidak setuju dengan keadaan aman serta stabil di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Perdana Menteri mencari penawar dan ramuan melalui konsep 1Malaysia untuk "penyakit" berkenaan.

"Konsep 1Malaysia ini adalah ubat kepada penyakit lama, penyakit tidak setuju, penyakit mu salah, penyakit wahai Perdana Menteri itu adalah silap. Sedangkan Najib baru 29 hari menjadi Perdana Menteri keenam negara.

"1Malaysia adalah ungkapan yang berjiwa baik dengan niat yang baik. Ia merupakan ungkapan yang mendahulukan rakyat," katanya semasa berucap pada majlis syarahan 1Malaysia dan isu semasa dengan kerjasama Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di sini, Sabtu.

Beliau berkata melalui konsep itu, setiap rakyat di negara ini diminta memberikan peranan masing-masing secara optimum untuk perpaduan, pembangunan dan kemakmuran negara.

Rais berkata melalui hasrat memaksimumkan peranan masyarakat, setiap rakyat perlu bersatu tanpa mengira perbezaan kaum dalam memastikan keharmonian di negara ini terus kekal.

Beliau berkata hasrat itu juga menekankan konsep meritokrasi kepada kakitangan kerajaan, sebagai jentera penggerak kerajaan, dan pemimpin negara untuk mengutamakan perkhidmatan terbaik mereka kepada rakyat.

Justeru, katanya konsep 1Malaysia itu tidak akan menjejaskan hak-hak keistimewaan orang Melayu serta kepentingan kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Ia bercanggah dengan dakwaan sesetengah pihak yang cuba mengelirukan konsep 1Malaysia kononnya ia akan menghakis hak keistimewaan orang Melayu termasuk institusi raja-raja Melayu.

"Apa yang dikehendaki daripada konsep itu adalah semua masyarakat bersatu dengan menghormati hak masing-masing. (Melalui) 1Malaysia kita maksimumkan peranan kita sebagai rakyat Malaysia untuk negara tetapi tidak hilang hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Pada sidang media kemudian, Rais berkata kementeriannya akan melancarkan program yang berteraskan konsep 1Malaysia dengan melaksanakan Temasya Pantai Timur yang melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata temasya itu akan menonjolkan seni kebudayaan dan kraftangan yang terdapat di Pantai Timur serta menerangkan konsep 1Malaysia kepada rakyat di samping menonjolkan kaum bukan Melayu yang mahir dalam seni dan budaya Melayu.

Temasya itu, katanya akan diadakan sama ada pada Julai atau selepas bulan Ogos.

Selain itu, kementeriannya juga akan menjalin kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan dalam menerangkan konsep 1Malaysia di peringkat kampung dan mukim, kata Rais.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan